Didalam perut manusia terdapat 3 rakan karib yang selalu berkerjasama dalam melakukan kerja harian , mereka ialah Enzim, Asid, dan Bakteria. Manakala didalam paru-paru pula, Alveoli merupakan komuniti terbesar yang bertugas membuang karbon dioksida dan membekal oksijen. Mari kita belajar sesuatu dari kisah kehidupan mereka sepanjang bulan Ramadhan.
Hari itu, kira-kira jam 5 pagi, si Asid tiba-tiba tersedar dari tidurnya apabila melihat sesuatu turun laju dari atas. Dia terkejut melihat nasi bercampur ayam goreng yang tiba-tiba masuk kebiliknya sebelum waktu subuh . Apabila ada makanan, maka bermakna mereka diarahkan berkerja oleh tuannya yang bernama manusia.
Lalu si Asid menjerit mengejutkan dua rakan karibnya. “ Oiii Enzim, Bakteria…..bangun, bangun!. Enzim dan Bakteria terpinga-pinga. “ Apahal ni Asid, pukul berapa ni?, tanya Enzim pada Asid. “ Pukul 5 pagi, tuan kita ni tiba-tiba je hari ni suruh kita berkerja”, jawab si Asid bersungguh-sungguh.
“ Alamakkk, apahal pulak tuan kita ni, selalunya shift keja kita mula kita 8 pagi, hari ni pulak kerja awal, mimpi apa bos kita malam tadi, leceh betullah”,Bakteria menyampuk dan mengeluh.
Dalam keadaan terpaksa mereka bertiga melakukan tugasan masing-masing. Bertugas dalam keadaan tergesa-gesa dan jarang dilakukan pada waktu begini. Enzim dan Asid masih merungut-rungut.
Menjelang jam 2 petang, mereka semakin hairan apabila tuannya tidak menyuruhnya berkerja. “ Eh, kenapa tak ada makanan masuk ye, tadi jam 10 pagi tak ada jugak, tuan kita ni tak ada duit ke?, keluh si Asid.
Tiga jam kemudian, si Asid mengeluh lagi, “ Wah, lama betul kita rehat hari ni, air kosong pun tak masuk, jom kita relak dan menyanyi! Mereka bertiga pun menyanyi dan menari. Masing-masing mengutuk antara satu sama lain kerana suara sumbang mereka. Lagu yang tiada irama dan tiada melodi. Kriookk, kreekk, krukkk. Kata si Enzim, “ Kita mana tau lagu lain, dari kecik lagu ni je yang kita tahu!
Jam sudah menunjukkan hampir 7.30 malam. Tiba-tiba Asid menjerit kuat. “ Tolongggg, tolongggg….. “ Apahal kau ni Asid!, sergah Enzim.
“ Kau tak nampak ke tu, bermacam-macam makanan dan air masuk dalam bilik kita ni. Tadi kita seronok tak ada kerja. Kalau banyak macam ni, 6 jam pun tak abis kita kerja malam ni, bos kita dah tidur tapi kita masih berkerja”, kata Si Asid dengan muka berkerut. Bakteria kaget dan terdiam.
“ Ya lah, ada macam-macam makanan ni, selalunya nasi je, tapi ni ada mee, rojak, karipap. Eh, cendol pun ada”, keluh si Enzim.
“ Betullah, air pun ada dua tiga warna ni, mandi lencunlah kita. Bahaya ooo, ini air pewarna. Malam ni kita kena overtimelah”, sampuk Bakteria. Dia terus merungut dan mengomel, dia terus bersyarah, “ Tapi tak pa, bos kita paksa kita kerja lebih masa, nanti aku pulas usus dia, aku keluarkan gas, nanti kita tenguklah, bos kita akan lama mencangkung dalam tandas, lembiklah dia lepas tu, silap-silap waktu maghrib pun abis
Esoknya, kira-kira pada waktu yang sama, Si Asid menjerit lagi, “ Bangun-bangun! Kita kerja awal lagi hari ini”. Bakteria tersedar dan berkata,” Ooooo…kau orang lupa ke, semalam kita kerja awal, hari ni pun kerja awal, maknanya dah masuk bulan puasalah, bulan Ramadhan”. Asid dan Enzim angguk tanda setuju.
“ Aku nak SMS kawan kita yang lain, nak tanya khabar mereka”, kata Asid. Mereka bertiga terus berkerja pada pagi itu sambil merungut-rungut kerana tidak biasa berkerja pada waktu begitu .Dan seperti Ramadhan yang lepas, biasanya mereka mengambil masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan rutin baru ini.
Tiba-tiba Asid bersuara, “ Kawan kita yang bosnya selalu pergi masjid tu dah jawab SMS. Dia kata dia dah biasa kerja awal pagi ni. Paling tidak sekali dalam seminggu. Dan dia kata, waktu bosnya berbuka puasa, tak banyak makanan, biasa saja dan tak perlu buat overtime. Tak macam kita, bilik kita macam tong sampah. Aku kesian juga kat kawan kita kat bawah tu, Si Usus Besar, padat bilik dia. Bau bilik dia jangan cakaplah..... ”.
“ Untung ye kawan kita tu, dia dah tak terkejut kerja pada awal pagi. Dia dah lama dapat rehat, seminggu sekali pulak tu. Kita ni berkerja 335 hari tanpa henti , siang malam, 30 hari je dapat rehat. Itu pun rehat waktu siang. Bila bos kita berbuka, teruk kita dibuatnya, bukan dia saja tersandar, kita pun tersandar lebih masa kerja. Lepas tarawih kang ada moreh, kita keja lagi”, kata si Enzim.
“ Hahahaha….gelak si Bakteria. “ Nasib kita lah, sabor je dalam sebulan ni.... nanti bila bulan syawal, bersedialah kita, bukan overtime lagi dah, tapi dah tak ada time untuk kita rehat, macam-macam masuk dalam bilik kita ini, dah nasib kita!!
“ Abih camno, tak dapek den nak nolong eh, tapi harap-harap bos kita dapat dengar keluhan kita ni, lepas Ramadhan ni dia beri kita rehat sikit, kalau tak dapat seminggu sekali, sebulan sekali pun ok dah”, kata si Asid dengan muka serius dan masam. Asid ini memang sifatnya masam.
“ Yolah botul tu, bos kita ingat kito ni mesin ko, mesin pun ado maso rehat eh”, sampuk Bakteria.
“ Aku ada idea, kita pesan kawan kita tu, suruh bos dia ajak bos kita supaya rajin-rajin dengar ceramah agama dan sembahyang berjemaah kat surau tu. Ni tak, bos kita asyik sembahyang kat rumah je. Nanti bila dah dengar ceramah agama, harap-harap dia ubah sikap. Paling tidak dia belajar-belajar puasa sunat, kita dapat rehat”, Si Enzim memberi cadangan.
“ Betul tu! balas Bakteria. “Kau nak tahu tak, semalam aku lepaskan geram kat bos kita sebab dia lambakkan macam-macam dalam bilik kita. Masa dia sujud, aku keluarkan gas, lalu keluar balik cendul hijau kat hidung dia, padan muka kelahap sangat!”.
“ Hahahaha…., mereka bertiga gelak berderai-derai.
Tiba-tiba rakan mereka di bilik paru-paru bersuara, iaitu Si Alveoli. “ Oii…apa yang kau orang seronok sangat ni?
“ Saja, kita orang gelakkan bos kita ni. Kau pulak apakhabar? Bilik kau orang okey tak sepanjang puasa ni?, tanya Enzim pada Alveoli.
“ Alahhh, kau buat-buat tanya pulak, siang hari je bilik kita orang ni tak berasap. Nanti lepas buka puasa, kita orang lemaslah balik. Macam inilah gamaknya, dah berpuluh tahun macam ni”, komen si Alveoli
"Aku pun hairan juga, bos kita ni boleh pulak tak berasap selama 12 jam pada bulan Ramadhan ini, tapi pada bulan lain, dua tiga jam sekali bilik kita orang mesti penuh dengan asap “, si Alveoli terus mengeluh.
“ Kita kena pesan kat kawan kita kat bilik paling atas tu, Si Otak supaya suruh bos kita berhenti menganaiya kau orang. Suruh kuatkan semangat bos kita ni”, balas si Bakteria.
“ Setahu aku, Si Otak dah naik malas dah, bos kita ni selalu kata dia dah lama tahu akan keburukan telan asap ni, dulu bos kita penah taubat sedut asap ni, tapi taubat cili padi", jawab si Alveoli..
“ Kami semua dalam bilik ni dah makin tak larat dengan asap ni dan ada kawan kita orang dah tak larat nak kerja ambik oksijen dah, dia keluarkan lendir .Itu yang banyak kahak ,bos kita semput dan nafas pendik. Agaknya bos kita nak jadikan bilik paru-paru ni jadi simpanan toksik dan jadi kanser macam kawan bos kita tu yang mati baru-baru ni”, mereka terdiam mendengar cerita si Alveoli.
“ Yer ke, nanti bilik kau kena kanser, bila kita orang pun boleh kena jugak”, sampuk Si Asid.
Dalam mereka berbual-bual, Si Telinga juga menyampuk, “ Aku dah biasa dengar dalam iklan, tentang keburukan asap ni”.
Si Mata yang diam dari tadi berkata,“ Betul tu, aku pulak dah biasa membaca, malah sekarang ni, kat kotak rokok pun aku lihat bermacam-macam gambar ngeri akibat telan asap ni, tapi bos kita buat dek je. Dan kau orang nak tahu tak, hari tu mata aku ni tengok lama perempuan seksi tau, naik juling aku dibuatnya. Nama je puasa bos kita ni, aku tak diajaknya puasa sekali!
“ Aku pun ada dengar dalam Radio, menyuruh orang yang berjaya kurang merokok dalam bulan puasa ini, supaya kurangkan rokok pada bulan lain, kalau dapat terus berhenti lagi baik, tapi cuping aku dah tebal”, kata si Telinga sambil tersengeh.
“ Yalah, aku pun ada tengok, ada orang kat Masjid tu, sebelum dia sembahyang dia sempat lagi berasap tu”, kata Si Mata menyindir.
“ Betul tu, ada hidung orang lain yang sensitif dengan bau asap ni dan menganggu solat dia orang, nanti buat pahala dan buat dosa serentak”, jawab Si Hidung yang dari tadi asyik menghidu.
Tiba-tiba Si Mulut berkata, “ Aku malas nak komenlah, bos kita ni jarang benar berzikir dan baca Al Quran dalam bulan puasa ni. Dia suruh aku bercakap pasal kerja dan masalah harian dia saja. Pada bulan lain, lagilah liat lidah aku ini untuk berzikir. Yang paling aku tak suka, aku maki hamun orang, macam tak ada beza dengan bulan tak puasa".
Dengan penuh bersemangat Si Alveoli menyeru, “ Jom kita buat deklarasi dan memorandum moga tuan kita akan berubah laku lepas puasa ni tahun ini, nanti kita semua akan lebih sihat dan selamat, bos lagilah selamat. Dia panjang umur, kita semua akan bertambah usia, bos mati, kita semua akan mati serentak tau!
Enzim bersuara. “ Nanti dulu, jangan lupa ajak si Hati, dia yang paling penting, tanpa dia, tak berkesan saranan kita nanti. “ Betul tu, tapi aku tengok si Hati pun dok muram saja, dia pernah beritahu aku yang dia pun sedih dengan bos kita. Badan si Hati makin kotor dan tidak sihat. Dia cuma diberi makanan berzat saja, tapi tak diberi secukupnya makanan hati”.
“Okey lah, nanti kita bincang dengan Hati, kita tanya pendapat dia. Rosak si Hati, kita semua akan rosak ”, kata si Asid.
No comments:
Post a Comment