Soalan; ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja  meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yg berpusa tapi tidak  mengerjakan solat.
Jawapan;
Orang yang  meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak  kewajipan tersebut, maka ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para  ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.
Adapun jika  ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan  solat, cuma ia malas melakukannya) , maka para ulamak berbeza pandangan tentang  hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak  berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah  melakukan dosa amat besar.
Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad  tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti  Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak  menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang  lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia  bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu  Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan  kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak  memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…”  (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).
Adapun berdasarkan pandangan  jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu);  puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak  melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak  dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah  puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang  cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh  Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah  (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya  ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar  (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad  asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail,  Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras  ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak  mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni  tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa  berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia  mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis  Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh  ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);
“Sesiapa yang tidak  meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada  keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat  kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari  Abu Hurairah r.a.).
Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan  sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, maka lebih-lebih  lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar,  berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah  itu.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Fatawa;  Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram,  hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4.  Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.
p/s: aku dpt dari email. xtau sapa ustaz yg menjawab, tp, benda baik, kita share la sama2, kan..
 
No comments:
Post a Comment